Demonstrasi masakan bagi pesakit buah pinggang

 Demonstrasi masakan bagi pesakit buah pinggang

KUALA LUMPUR 17 Mac - Bersempena dengan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia pada 8 Mac lalu, Hospital KPJ Ampang Puteri hari ini mengadakan demonstrasi masakan bagi pesakit buah pinggang.

Pakar Pemakanan KPJ Ampang Puteri, Nur Hayati Azmi berkata, melalui demonstrasi masakan tersebut, pesakit buah pinggang dan orang ramaj diberi pendedahan tentang bagaimana menghasilkan menu enak dan sihat yang boleh dinikmati pesakit buah pinggang.

“Biasanya kalau pesakit buah pinggang ini mereka perlu mengawal pengambilan garam, gula, karbohidrat, protein, potassium dan fosfat. Ramai pesakit yang buntu bagaimana menghasilkan menu yang sedap namun sihat untuk mereka.

“Oleh itu demonstrasi kita hari ini memberi pengetahuan baru kepada pesakit buah pinggang, biarpun sakit tetapi mereka tetap boleh menikmati makanan yang sama seperti orang yang sihat. Apa yang penting mereka perlu kreatif dalam memasak,” katanya di Hospital KPJ Ampang Puteri, dekat sini hari ini.

Antara masakan yang didemonstrasikan termasuklah epal crepe, roti bakar, kerabu suun, lemon ayam dan puding mangga.

Nur Hayati berkata, bagi pesakit buah pinggang yang menjalani dialisis, makan makanan yang betul adalah sangat penting kerana diet yang salah akan menjadikan buah pinggang mereka bertambah teruk.

“Atas sebab inilah pengetahuan tentang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dimakan adalah amat penting kepada pesakit buah pinggang,” ujarnya.

Tambahnya, bagi mereka yang ingin mendapatkan resipi masakan bagi pesakit buah pinggang, boleh layari laman web www.kpjampangputeri.com untuk maklumat lanjut. - UTUSAN ONLINE

BERITA PENUH KLIK DI SINI