Dalam situasi yang hampir sama, Faizul yang merupakan seorang pelajar kejuruteraan elektrik seringkali gagal dalam tugasannya apabila melibatkan penggunaan papan litar elektronik.

Adakala tangannya kelihatan seperti baru dibasuh. Keadaan tersebut menyukarkan Faizul untuk melaksanakan tugasan yang diberi pensyarahnya.

Ramai dalam kalangan kita berhadapan dengan dua situasi tersebut, namun kebanyakannya hanya membiarkan dan menyembunyikan sahaja tanpa menjalani sebarang rawatan. Sedangkan pada hakikatnya keadaan tersebut menjejaskan kualiti hidup masing-masing.

Menyentuh tentang peluh yang melampau, ada yang tidak sedar mereka sebenarnya menghidap sejenis penyakit yang dinamakan hiperhidrosis, yang mana keadaan fisiologi yang disebabkan oleh sistem saraf sympathetic terlalu aktif menyebabkan berlakunya pengeluaran peluh berlebihan terutama di bahagian tapak tangan, ketiak, muka, kelengkang, atau tapak kaki tidak kira sama ada dalam keadaan sejuk mahupun panas.

Pakar Perunding Dermatologi Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Dr. Mazlin Mohd. Baseri berkata, walaupun penyakit tersebut tidak menjejaskan kesihatan keseluruhan namun hiperhidrosis boleh dianggap sebagai ‘bencana’ kepada aktiviti sosial penghidapnya.

“Punca sebenar sehingga kini masih tidak diketahui, namun ia berlaku hampir kepada kebanyakan orang. Kita tidak mengetahui bilangan sebenar penghidapnya di Malaysia tetapi di Amerika Syarikat, hampir tiga peratus populasi penduduknya menghidap hiperhidrosis.

“Selagi dapat dikawal, penghidapnya memilih untuk membiarkan sahaja tanpa ingin mengetahui cara untuk merawat dan mengurangkan gejala tersebut kerana sudah terbiasa.

“Ada yang langsung tidak mengetahui keadaan ini adalah satu penyakit dan beranggapan itu masalah biasa yang terjadi kepada sesiapa sahaja.

“Mereka mungkin menyediakan sapu tangan atau tisu untuk mengelap telapak tangan mereka sepanjang hari, memilih memakai pakaian gelap dan tidak melakukan aktiviti di luar untuk menangani masalah ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Ampang, baru-baru ini.

Menurutnya, hiperhidrosis dibahagikan kepada dua kategori iaitu hiperhidrosis setempat (focal) dan hiperhidrosis menyeluruh (general).

Hiperhidrosis setempat berlaku hanya di sesetengah kawasan badan sahaja seperti di bahagian ketiak manakala hiperhidrosis menyeluruh melibatkan keseluruhan kawasan badan. Biasanya keadaan tersebut berlaku kerana tindak balas daripada penyakit-penyakit lain yang dihadapi penghidap.

Ujarnya, dalam sesetengah kes, hiperhidrosis berlaku dalam kalangan keluarga kerana pembawaan genetik.

Dalam pada itu, simptom penyakit ini biasanya dapat dikesan seawal usia kanak-kanak dan awal remaja. Terdapat juga kes di mana apabila penghidap meningkat dewasa, masalah hiperhidrosis menunjukkan pengurangan gejala, namun masih tidak dapat dibuktikan lagi.

Malu dan hilang keyakinan

Dr. Mazlin menambah, hiperhidrosis tidak boleh dipandang ringan kerana walaupun tidak membahayakan nyawa, penyakit itu boleh menjejaskan kehidupan individu terbabit. Jika di usia remaja, mereka boleh mengelak untuk melakukan aktiviti luar seperti bersenam atau berjoging tetapi apabila sudah memasuki alam pekerjaan, agak sukar bagi mereka untuk mengawalnya.

Katanya, penghidap hiperhidrosis sentiasa berasa tidak selesa, rendah diri dan kurang berkeyakinan untuk bertemu orang ramai apatah lagi bagi mereka yang banyak terlibat dengan majlis sosial.

“Keadaan lebih teruk jika mereka berada dalam keadaan yang sangat panas atau apabila berasa gementar. Setiap hari, mereka akan bertarung untuk menyembunyikan rasa malu menerima teguran daripada orang sekeliling.

“Saya mempunyai seorang pesakit yang merupakan pelajar jurusan pergigian. Dia mendapatkan rawatan apabila penyakit tersebut mengganggu latihan perubatannya. Bayangkan apabila dia menanggalkan sarung tangan, peluh bertakung di dalam sarung tangan menyebabkan dia terus mendapatkan rawatan yang bersesuaian,” ujarnya.

Menurutnya, terdapat beberapa kaedah untuk merawat hiperhidrosis seperti antiperspirant, suntikan Botulinum atau Botox, kaedah elektron Iontophoresis, teknologi gelombang mikro Miradry, laser, atau pembedahan Indoscopic Thoracic Sympathectory (ETS).

“Biasanya, kaedah rawatan bergantung kepada pilihan pesakit kerana mereka boleh menjalankan mana-mana rawatan yang terdapat di Malaysia. Doktor akan berunding dengan pesakit tentang pemilihan kaedah rawatan yang bersesuaian dengan tahap peluh pesakit dan rawatan apa yang lebih memberi keselesaan kepada pesakit.

“Rawatan yang paling mudah adalah dengan mendapatkan losen antiperspirant di mana-mana hospital, klinik atau farmasi. Mudah digunakan dan berkesan bagi mereka yang menghidap hiperhidrosis ringan, antiperspirant mungkin tidak dapat mengubati secara menyeluruh tetapi dapat mengurangkan gejala menjadi semakin teruk,” katanya.

Ujarnya, ramai yang memilih untuk menjalankan pembedahan ETS yang dilakukan di bahagian dada pesakit bagi memotong atau menahan saraf yang mengawal pengeluaran peluh iaitu saraf sympathetic secara endoskopi. Walaupun bersifat kekal tetapi apa sahaja pembedahan yang dijalankan pasti ada risikonya.

“Hampir 80 peratus pesakit yang menjalani pembedahan akan mengalami compensatory hyperhidrosis iaitu penghidap masih berpeluh tetapi bukan di bahagian yang dirawat namun berlaku pada bahagian lain pula. Sebagai contoh, pesakit yang pada asalnya berpeluh berlebihan di bahagian ketiak akan mengalami hiperhidrosis di bahagian tapak tangan pula selepas menjalani pembedahan,” katanya.

Beliau tidak menggalakkan pesakit melakukan pembedahan jika hiperhidrosis masih boleh dirawat dengan kaedah-kaedah lain melainkan benar-benar teruk dan pembedahan sahaja yang boleh membantu penghidapnya.

Kaedah lain adalah dengan membuang kelenjar peluh dengan menggunakan laser yang merawat lapisan di bawah kulit.

Individu yang menghidap hiperhidrosis disyorkan berjumpa dengan doktor agar rawatan yang sesuai dapat dilakukan. Kefahaman pesakit tentang penyakit ini dan cara-cara menanganinya sedikit sebanyak dapat membantu memulihkan keyakinan diri pesakit hiperhidrosis