Article Details

KAYAP – PENYAKIT YANG TIDAK PERLU DIGERUNI

02-01-2019

KAYAP – PENYAKIT YANG TIDAK PERLU DIGERUNI

Kayap (‘shingles’) merupakan suatu penyakit yang ditakuti oleh masyarakat Melayu kerana wujudnya kepercayaan yang menyatakan kayap boleh menyebabkan kematian apabila ruam kayap meliliti sekeliling tubuh  atau bertemu di tengah bahagian badan. Kayap juga sering dikaitkan dengan kepercayaan  mistik dan pesakit sering keliru dengan rawatan yang mereka perlukan.

 

Bagaimana kayap ini boleh berlaku?

Sebenarnya, kayap ialah satu penyakit yang diakibatkan oleh pengaktifan semula virus yang telah lama bersembunyi  di dalam saraf. Virus ini mula bersarang di dalam saraf  selepas seseorang itu mengalami penyakit ‘chickenpox’.  Virus penyebab kayap dinamakan virus varicella zoster ; dan virus ini juga penyebab penyakit ‘chickenpox’.  Oleh itu, sesiapa yang pernah mengalami penyakit ‘chickenpox’ mempunyai risiko untuk  mendapat penyakit kayap terutamanya ketika daya tahan imun badan menurun. Contohnya, kayap boleh timbul ketika seseorang sedang mengalami stress yang teruk (stres dari segi fizikal mahupun psikologi) , ibu- ibu mengandung, orang tua dan kanak-kanak, pesakit buah pinggang dan sebagainya.  Lebih rendah  tahap imun seseorang pesakit, lebih teruk/serius  penyakit kayap yang ia alami . Penyakit kayap melibatkan dua organ berbeza iaitu kulit dan saraf.

 

Kenapa kayap sering berlaku pada sebelah bahagian badan sahaja?

Ruam kayap akan timbul di permukaan kulit yang disaluri oleh saraf yang dijangkiti oleh virus tersebut sahaja.  Saraf di kulit berasal dari saraf tunjang (‘spinal cord’) yang bertempat di tulang belakang manusia.  Di antara setiap tulang belakang, saraf tunjang mengeluarkan cabang-cabang saraf di sebelah kanan dan kiri badan yang seterusnya akan meliliti di sekeliling tubuh sehingga ke bahagian tengah hadapan permukaan badan.

Permukaan kulit yang dilalui dan dibekalkan deria sentuhan/sakit/ oleh setiap saraf ini diberi nama ‘dermatome’ dan apabila virus varicella zoster menjadi aktif semula di sesuatu saraf tersebut, rasa sakit, kemerahan  dan ruam kayap akan timbul di kawasan  dermatome yang terlibat .

 

Gambarajah menunjukkan kawasan di permukaan kulit (dermatome) yang disaluri oleh saraf-saraf yang berasal dari saraf tunjang. Setiap kawasan diberi nama berdasarkan tempat asal saraf tersebut;  contoh T10 (thoracic 10) menunjukkan kawasan terlibat ialah di bahagian pusat.

 Kayap boleh timbul di mana-mana sahaja di permukaan kulit. Sekiranya lebih dari satu saraf yang dijangkiti, ruam kayap akan melibatkan kawasan yang lebih luas dan mungkin juga kedua-dua belah kanan dan kiri badan. Biasanya kayap akan melibatkan kawasan permukaan kulit yang luas pada pesakit  yang mempunyai daya tahan (‘immune’) yang sangat rendah seperti  pesakit kencing manis yang tidak terkawal, pesakit  HIV/AIDS,  penghidap barah,  pesakit yang menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi dan sebagainya.

Pada zaman dahulu,  apabila seseorang itu meninggal dunia dan dilihat kulitnya mempunyai  ruam kayap, kayap telah dipersalahkan sebagai penyebab kematian. Kita tahu sekarang bahawa hanya mereka yang  menderita penyakit serius seperti barah , misalnya, akan mendapat kayap yang teruk dari biasa. Oleh kerana penyakit barah tidak disedari/dikesan sebagai penyebab kematian pada zaman dahulu, mungkin inilah yang menyebabkan  timbulnya kepercayaan bahawa apabila kayap meliliti tubuh ia boleh menyebabkan maut.


Bagaimana saya tahu sama ada saya terkena kayap?

Pesakit akan merasa sakit pada kawasan saraf yang terlibat selama 2-3 hari sebelum munculnya sebarang ruam di kawasan tersebut. Sesetengah pesakit merasa kesakitan yang amat sangat sehinggakan mereka perlu mendapatkan rawatan doktor.

Ruam kayap bermula dengan bintik merah yang akan berubah menjadi gelembung –gelembung kecil berisi cecair di atas permukaan kulit yang kemerahan. Beberapa hari kemudian, gelembung-gelembung ini akan menjadi kering dan ditutupi selaput kering berwarna hitam (lihat gambar). Selaput kering ini akan tanggal dalam masa 1 minggu dan jika gelembung itu kecil, kebiasaannya ia tidak akan meninggalkan sebarang parut.

 

Diperingkat awal, ruam berbentuk gelembung-gelembung kecil berisi cecair di atas permukaan kulit yang kemerahan

 Foto ihsan dari https://illnessee.com/shingles-pictures/

Selepas beberapa hari, gelembung-gelembung kecil mula mengering dan ditutupi selaput kehitaman

Foto ihsan dari http://www.24seconds.org/shingles-rash-pictures/

Jika seseorang pesakit tampil ke hospital dengan rasa sakit tanpa ruam, diagnosa kayap mungkin tidak dapat dibuat pada waktu tersebut . Sekiranya kesakitan dirasai di dada sebelah kiri, pesakit mungkin perlu menjalani ujian untuk mempastikan pesakit tidak mengalami  serangan jantung sebelum diagnosa kayap boleh diputuskan.

Apakah  beza kayap ular , kayap bunga dan sebagainya?

Di dalam bidang dermatologi, kayap tidak dibezakan berdasarkan rupa bentuk ruam tersebut. Kayap ular hanya lah nama yang digunakan untuk menggambarkan ruam yang timbul di sepanjang permukaan kulit yang di saluri saraf tersebut dan kayap bunga apabila ruam itu timbul dalam bentuk gugusan seperti anggur.  Memberi nama berbeza berdasarkan  rupa bentuk atau taburan ruam di kulit pesakit  tidak mempunyai sebarang  ‘ significance’  – rawatannya tetap sama.

Bolehkah kayap ini sembuh?

Ya penyakit kayap boleh sembuh sepenuhnya dan proses penyembuhan lebih cepat jika mendapat rawatan yang betul. Rawatan biasanya merangkumi ubat untuk mengawal rasa sakit, ubat anti virus dan jika perlu, antibiotik untuk merawat sebarang jangkitan bakteria yang boleh hinggap di atas luka di kawasan kayap tersebut. Sesetengah pesakit mendapat penyakit kayap yang sangat ringan – tiada sakit, hanya sedikit kemerahan , dan mereka boleh sembuh tanpa memerlukan rawatan.

Rasa sakit di kawasan yang terlibat boleh berterusan selama 1-2 minggu ataupun selama beberapa bulan, dan perbezaan ini bergantung kepada umur pesakit. Sesetengah kanak-kanak tidak mengalami rasa sakit walaupun menghidap kayap. Pesakit yang masih muda biasanya hanya merasa sakit selama beberapa minggu (biasanya < 1 bulan)   manakala pesakit yang berumur akan mengalami rasa sakit selama beberapa bulan  atau lebih.

 

Apakah komplikasi yang boleh timbul apa bila seseorang  mendapat penyakit kayap?


1200

 
https://cdn2.iconfinder.com/data/icons/medical-specialties-2/256/Dermatology-512.pnghttps://image.freepik.com/free-icon/opened-door-aperture_318-75557.pnghttp://simpleicon.com/wp-content/uploads/phone-symbol-2.pngKomplikasi  yang tidak serius termasuklah parut di kawasan ruam dan jangkitan kuman – namun ia boleh ditangani dengan mudah. Komplikasi yang dianggap serius dinamakan ‘post herpetic neuralgia’ –  ia berlaku pada pesakit yang sudah berumur.  Saraf yang terlibat mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh sepenuhnya dan pesakit akan masih mengalami rasa sakit/ kebas / gatal /kelumpuhan di kawasan yang terlibat walaupun ruam asal sudah sembuh.  Rawatan komplikasi ini melibatkan ubat-ubat saraf di bawah jagaan pakar saraf/neurologi.

 

Artikel ditulis oleh:

Dr Mazlin Mohd Baseri, Pakar Dermatologi KPJ Ampang Puteri Specialist Hospital


Download PDF

Back