Kurus Sebulan, Gemuk Sehari - Utusan Malaysia - Pn Nurhayati Azmi, Dietitian - 20th June 2017

Kurus Sebulan, Gemuk Sehari

 



JIKA pergi ke bazar Ramadan, kita melihat pelbagai makanan menyelerakan yang semuanya ingin dibeli. Atas alasan kebanyakan orang, ketika inilah mereka mahu merasai bermacam-macam jenis juadah kerana bulan ini memang mewah dengan makanan.

Namun, semakin ramai orang mula menyedari bahawa membeli dengan banyak hanya akan membawa kepada pembaziran, apabila makanan yang dibeli tidak terusik ketika berbuka puasa.

Selain mahu berjimat, mereka telah menyimpan azam awal-awal lagi, bahawa pada bulan ini mereka dapat menurunkan berat badan.

Bagaimanapun, apa yang dibimbangkan oleh ramai orang ialah apabila tiba Syawal.

Sudah dibayangkan makanan yang sedap-sedap terhidang di depan mata.

Lemang, ketupat, rendang daging, rendang ayam, kuah kacang, lontong, nasi minyak, laksa dan pelbagai jenis biskut ‘menggamit’ naluri anda untuk makan.

Bagi menyedapkan hati, ramai yang berkata pada diri sendiri, “alah setahun sekali, tak makan rugi pula. Lagi pun sudah sebulan berpuasa, tidak mungkin jadi gemuk hanya kerana makan lebih sikit juadah raya ini. Lepas ini, dietlah semula”.

Menurut pegawai pemakanan Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, Nur Hayati Azmi, ramai yang berazam untuk menurunkan berat badan, makan secara sihat, berhenti merokok dan sebagainya semasa bulan Ramadan.

Mereka sangat fokus dan berdisiplin demi azam mereka. Pun demikian pada akhir Ramadan dan memasuki Syawal, ada yang telah mengabaikan azam dan corak pemakanan sihat yang telah mereka mulakan.

“Tidak dinafikan semasa raya, terlalu banyak makanan lazat disediakan. Namun, di samping menyambut Syawal dengan penuh kegembiraan, anda harus pastikan mengambil makanan yang sihat,” katanya.

Kata Nur Hayati yang ditemui baru-baru ini, terdapat tiga tip yang boleh diikuti dengan mengamalkan makan secara sihat pada hari raya ini dan tidak makan kerana geram melihatkan banyaknya makanan kesukaan anda.

1.Kurangkan lemak

Jika anda merancang untuk membuat sendiri biskut raya, kurangkan kandungan gula, lemak dan minyak dalam resipi yang anda pilih. Contohnya jika di dalam resipi tersebut memerlukan dua cawan gula, kurangkan menjadi satu cawan sahaja. Bagi lemak pula, jika resipi anda menggunakan mentega, tukarkan kepada marjerin (cari yang sesuai untuk dibakar). Gunakan tepung berserat tinggi bagi menambahkan serat.

Terdapat dua jenis marjerin, iaitu untuk sapuan dan untuk masakan atau bakar. Begitu juga jika menggunakan minyak, kurangkan penggunaan minyak.

Jika anda membeli daging dan ayam, buang semua lemak dan kulit sebelum dimasak. Jangan potong terlalu besar.

Makanan yang dirancang untuk dihidangkan juga seperti nasi bukhari, nasi daging, nasi minyak dan sebagainya perlu dipastikan hanya satu menu sahaja yang menggunakan santan atau digantikan dengan susu rendah lemak.

2.Minum air suam

Semasa berkunjung ke rumah saudara-mara pula, anda boleh makan pelbagai jenis biskut tetapi setiap jenis hanya sekeping sahaja. Bagi makanan berat, ambil semangkuk makanan seperti lontong tetapi kurangkan mengambil kuah terlalu banyak kerana kandungan santannya.

Minum air suam. Tuan rumah turut digalakkan untuk meletakkan air suam di atas meja.

Tuan rumah juga boleh menghidangkan buah-buahan kepada tetamu. Ramai yang keliru dan berpendapat buah juga manis. Sebenarnya buah tergolong dalam gula ringkas dan memberikan tenaga segera.

Berhati-hati makan buah-buahan semasa Syawal ini kerana terdapat banyak buah-buahan bermusim seperti durian dan rambutan. Jika hendak makan rambutan, ambil empat biji sahaja sementara durian kampung ambil tiga ulas sahaja. Bagaimanapun jika durian king, seulas sudah memadai kerana isinya yang tebal.

Ramai orang yang bertanggapan jika mereka makan banyak makanan manis mereka akan minum banyak air kosong. Sebenarnya walaupun anda telah minum beberapa botol air kosong, kandungan gula yang telah diambil tetap ada di dalam badan kita.

Cara bagi menyingkirkan gula ialah dengan bersenam dan pilih jenis senaman yang bersesuaian dengan keadaan anda seperti berbasikal, bermain badminton, berenang dan sebagainya.

3.Sediakan saiz hidangan kecil

Kepada tuan rumah pula, sediakan saiz hidangan yang kecil seperti ayam dan daging dipotong kecil serta mangkuk hidangan yang kecil. Ambil dua potong sahaja lemang.

Bagi yang membawa anak-anak, jangan ambil makanan penuh pinggan dengan alasan hendak menyuap anak-anak. Anak-anak makan sedikit sahaja dan biasanya yang selebihnya dimakan oleh si ibu kerana sayang membazir.

Banyakkan makan sayur-sayuran seperti yang terdapat dalam hidangan lodeh dan pecal.

Makanlah secara sederhana dan selalu ingat panduan pemakanan yang digalakkan oleh Kementerian Kesihatan, iaitu suku, separuh - suku untuk bijirin, nasi, mi, kuetiau, suku lagi protein seperti ikan, ayam dan daging manakala separuh ialah sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Ada orang yang apabila hendak ke jemputan rumah terbuka, tidak mahu makan di rumah kerana hendak makan banyak di rumah terbuka. Lebih baik jika anda mengalas perut dahulu. Pastikan anda tidak dalam keadaan terlalu lapar kerana faktor makan banyak akan ada.

“Jika anda memiliki tubuh yang kurus, harus diingat orang kurus tidak semestinya sihat. Terdapat orang yang kurus tetapi mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.

“Kekalkan berat badan yang ideal semasa raya. Jangan pula berat badan bertambah-tambah semasa raya kerana ‘puas’ makan,” kata Nur Hayati.